Tuesday, 7 November 2017

Trip ke Sabah

TRIP TO SABAH



PENGENALAN

Sabah sebuah negeri terletak di utara Borneo. Alam semulajadi yang unik menawarkan beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi. Bagi penduduk Malaysia, negeri Sabah bukanlah asing kerana gunung tertinggi di rantau Asia Tenggara terletak di sini iaitu gunung Kinabalu.


TRIP KE SABAH

Pada cuti pertengahan penggal Ogos lepas, saya sekeluarga telah berkunjung ke Sabah. Trip kali ini tidak dirancang, ia datang secara impromptu 3 hari sebelum bertolak. Kami bertolak dari Bintulu dan menginap semalam di bandar Miri, Sarawak. Pada awal pagi keesokannya, kami tiga beranak bertolak mengikut jalan darat menaiki kereta. Perjalanan ini melalui negara Brunei Darussalam. Nasib baiklah passport antarabangsa masih sahlaku. Perjalanan perlu melalui beberapa pusat imigresen dan kastam Brunei/Malaysia. Pendek kata suku daripada masa perjalanan dihabiskan berhenti di pusat tersebut.

Di Brunei kami menggunakan jalan pintas (jalan kampung) ke pos imigresen/ Kastam Kuala Lurah. Ini merupakan kali pertama menggunakan laluan tersebut. Jadi ada beberapa kali terpaksa singgah bertanya arah daripada penduduk tempatan. Kunjungan pertama dulu menggunakan lebuhraya ke Jerudong tetapi agak memakan masa. Perjalanan melalui kampung memang agak lengang, jalan pun tidak lebar tetapi suasana sepanjang perjalanan tenang. Suasana kampung di Brunei tidak banyak berbeza dengan Malaysia.

(pos imigresen Sindumin)
Dipendekkan cerita, perjalanan kami sampai ke Limbang. Kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai makan berdepan dengan waterfront Jubli Emas. Sempat mengambil beberapa pos di tebingan Limbang. Perjalanan diteruskan melalui Temburong Brunei sebelum memasuki Lawas. Di Lawas kami melalui pos imigresen/kastam terakhir di Sindumin menandakan bahawa kami sudah berada di Negeri Di Bawah Bayu. Jarak dari Sindumin ke Kota Kinabalu mengambil masa 2 jam lebih.

Sampai di KK sudah petang, kami terus menuju ke gerai tempat ikan bakar segar. Cuaca pada masa tu baru reda selepas hujan jadi keadaan kurang menyenangkan ..... keadaan sekeliling gerai basah dan banyak lopak air. Berapa orang pelancong Korea dan Barat turut kelihatan pada masa tu. Oleh kerana isteri berkenan sangat dengan ikan bakar, terpaksa turut kemahuannya setelah berapa tahun meninggalkan Sabah. Juadah bakar memang nampak menyelerakan tetapi persekitaran gerai buat mood mengucup. Saya sempat perhatikan sepasang pelancong Korea kelihatan seolah jengkel duduk di meja sebelah.

Sebaik selesai makan kami bergerak menuju ke Inn Hotel di jalan Inanam yang terletak dalam 10-15 minit daripada pusat bandar Kota Kinabalu. Pencarian menuju ke hotel menggunakan aplikasi WAZE sangat membantu. Walaupun sekadar Inn tetapi keadaan dalam bilik agak selesa sebab hotel baharu. Kadar sewa semalam pula berpatutan bagi pelancong bajet seperti saya.

Keesokkan, kami bertolak dalam 9 pagi untuk sarapan kat area Kingfisher (kawasan perumahan yang disewakan untuk pelajar UMS) cari menu masakan Sarawak. Selepas itu kami bergerak menuju ke Kundasang tetapi sebelum tu isi minyak. Perjalanan menuju Kundasang mengambil masa 2 jam lebih dengan keadaan jalan yang sentiasa menaik dan berselekoh melambatkan pergerakan. Namun ketika berada di paras tinggi, pemandangan membuatkan kita berasa tenang. Keindahan alam semulajadi menggamit hati pengunjung, kelihatan gunung di kiri-kanan jalan.

Sesampai di Kundasang, kami mencari Kinabalu Valley Homestay. Keadaan dalam rumah tidak sebanding Inn atau Hotel tetapi boleh dikatakan bersih dan kemas. Selepas daftar dan simpan barang, kami pergi melawat ladang ternakan lembu Desa Farm. Perjalanan menaiki bukit yang tinggi, kereta bergerak seolah pejalan kaki. Tiket masuk adalah RM5 seorang (tak berapa ingat harga sebenar). Suasana sangat indah dan sejuk mata memandang sebab kedudukan betul-betul di kaki gunung Kinabalu. Boleh perhatikan gambar bawah. Jika diperhatikan gunung secara terperinci, terdapat runtuhan tebing yang teruk kesan daripada gempa bumi pada Jun 2015.
(pemandangan dari Ladang lembu Desa Farm)
Kami berada di ladang lembu. Suasana ladang ala-ala di negara Barat. Suhu pun sangat nyaman seolah berada dalam bilik berhawa dingin. Kami meninjau sekitar ladang termasuk bahagian pemerahan susu. Perkara wajib buat bila berada di sini ialah membeli hasil tenusu seperti susu segar dan yogurt. Kami mengambil gambar sebelum balik ke homestay. Di bawah beberapa pose berlatarbelakangkan ladang Desa Farm.




Di homestay, kami mandi siap sedia untuk makan malam. Air paip ........alamak......sangat-sangat sejuk. Kalau tiada hot shower memang tak boleh mandi. Kami kenakan pakaian bersih dan bergerak ke sebuah restoran (halal) tak jauh daripada pekan Kundasang. Makan steamboat .. pilihan tak seberapa tetapi memadai untuk menahan lapar malam.

(pemandangan gunung kinabalu dari restoran)
Lepas makan kami bergerak balik ke penginapan. Keesokkan pagi, bangun pagi sangat menyegarkan. Cuaca begitu baik dan gunung Kinabalu dapat dilihat jelas dari homestay. Kami bersiap sedia untuk sarapan di restoran yang sama. Sesudah sarapan kami bergerak ke Kinabalu Park di mana letaknya pejabat urusan taman. Di situ juga pendaki-pendaki akan berkumpul sebelum setiap pendakian. Pemandangan gunung sangat menakjubkan pagi itu. Gambar menjelaskan segala-galanya.



(gunung Kinabalu di belakang)



Dari Kinabalu Park kami teruskan perjalanan menuju ke Kampung Luanti terletak di Ranau. Jangka masa ke sana dalam 45minit ke 1 jam. Kampung ini terkenal dengan program Tagal iaitu projek meningkatkan populasi ikan dalam sungai. Penduduk tidak boleh mengganggu, memancing dan apa juga perbuatan lain untuk menangkap ikan. Ikan yang terdapat di sini sangat jinak daripada spesis yang mahal iaitu ikan kelah. Pelancong dikenakan tiket masuk RM5 seorang dan makanan ikan dijual 20 sen satu paket. Ikan akan berkumpul di kaki apabila ditabur makanan, sangat jinak anda boleh membelai (perhatian: peraturan tidak membenarkan pengunjung memegang ikan). Setiap pengunjung hanya dibenarkan berada di sungai selama 15 minit. Mungkin untuk mengelak kesesakkan yang boleh mengganggu ikan.




Perjalanan hari itu diteruskan pula ke Poring Hotspring. Tempat ini terkenal dengan mata air panas. Air panas disalurkan ke kolam-kolam kecil untuk pengunjung mandi atau berendam. Dikatakan air daripada mata air panas mempunyai unsur perubatan baik untuk yang mengidap kudis dan gatal-gatal badan. Antara kemudahan lain yang terdapat di sini adalah taman rama-rama, kolam mandi dan canopy walk. Chalet dan asrama disediakan kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini.
(canopy walk - bagi yang gayat jangan cuba)
Balik dari Poring Hotspring kami memandu menuju ke Kota Kinabalu. Sesampai di sana kami check in di Inn Hotel tempat penginapan yang sama masa mula sampai. Kami berehat sebentar menghilangkan lelah. Pada sebelah petang kami pergi ke pantai Tanjung Aru, agak cantik pemandangan sebab diserikan oleh beberapa buah pulau tak jauh dari pantai. Namun kenangan yang tak dapat saya lupakan, bila mengunjungi tandas awam di sebelah gerai makan. Keadaan sangat-sangat tidak menyenangkan bagi saya sebagai pelancong tempatan. Apatah lagi bagi pelancong luar. Kebetulan pada masa itu ada beberapa orang pelancong Korea turut sama ke tandas. Tidak dapat saya bayangkan perasaan mereka sebab saya pernah ke Korea dan saya tahu tahap kebersihan orang-orang Korea. Pihak bertanggungjawab harus peka dengan keadaan di sana sebab pantai Tanjung Aru terletak di kawasan strategik. Balik dari pantai kami bertiga jalan-jalan di shopping mall 'City Point' sebelum ke penginapan. Tidur awal sebab berangkat balik ke Sarawak keesokkan pagi.

Kami berangkat balik ke Sarawak dalam 5.30 pg agar sampai awal di Miri. Begitulah sedikit sorotan mengenai lawatan ke Sabah. Jika ada peluang dan rezeki, saya tetap akan datang lagi. Oh...ya, lawatan lalu merupakan kali ke-4 ke Sabah. Sehingga berjumpa lagi ....bye!


No comments:

Post a Comment