Friday, 17 November 2017


TRIP KE AUSTRALIA 


PENGENALAN

Australia adalah destinasi luar negara pertama. Kami pergi secara rombongan terdiri daripada 2 keluarga yakni rakan setugas. Kami telah memilih Adelaide, Australia atas dua alasan:
  1. Rakan mempunyai makcik yang menetap di sana.
  2. Ada perkhidmatan penerbangan Airasia.
Untuk makluman, pada hujung tahun yang sama Airasia telah memberhentikan penerbangan ke Adelaide. Kiranya kami bernasib baik sempat menaiki syarikat penerbangan tersebut sebelum perkhidmatan ditamatkan. Rancangan melancong ke Australia telah diatur beberapa bulan untuk memberi ruang buat tempahan tiket dan menyimpan secukupnya. Matawang Australia lebih tinggi berbanding ringgit. Kadar tukaran pada masa itu ialah Aus$1.00 bersamaan RM2.90 (kurang lebih). Maknanya wang kita kalah jika nak berbelanja di sana. Kunjungan ke sana lebih kepada cuci mata daripada membeli belah. Nasib baiklah menumpang di rumah makcik rakan, jadi dapat berjimat untuk kos penginapan.


ITINERARI LAWATAN

1. HARI PERTAMA: BERANGKAT PERGI

  • Entri kali ini saya mulakan dengan cerita dari KLIA2. Penerbangan menaiki Airasia X pada 11.45 malam  (kurang lebih) pada tanggal 13hb Disember kalau tak silap. Semangat nak berangkat berkobar-kobar, al-maklumlah ini lawatan pertama ke luar negara. Pada masa yang sama, agak nervous sebab jarak yang jauh. Penerbangan mengambil masa 6 jam lebih untuk sampai. Bermacam-macamlah perkara yang difikir dalam otak .... teringatlah dokumentari nahas kapal di channel Discovery "Seconds before disaster", Astro. Namun semangat berkunjung ke Australia mengalahkan kerisauan lagipun kapal yang agak besar mempunyai dua lorong, maknanya lebih kukuh dan kuat menghadapi impak awan dan angin. Ramai juga penumpang pada malam itu, kebanyakan adalah orang Malaysia. Mungkin mereka pun turut melancong atau orang Malaysia yang sudah berhijrah ke sana. Masa kunjungan adalah pertukaran musim bunga ke musim panas.
    (Airasia X = Bahagian dalaman kapal) 
                      
    (sedang menunggu di balai berlepas KLIA2)

Ketika memasuki ruang udara Laut Hindi atau lebih tepat ruang udara Australia, subuh membukai tirainya. Pemandangan sangat indah lebih-lebih lagi daripada peralihan zon malam ke zon siang. Keadaan dalam kapal adalah senyap sebab kebanyakan penumpang dibuai lena. Namun saya tidak dapat tidur lena kerana ada rasa ngeri di awan biru. Ketika pesawat sudah menghampiri bahagian selatan Australia, saujana mata memandang hamparan kuning. Sangkaan saya itu adalah ladang gandum atau tanaman lain sedang menguning. Rupa-rupa itu adalah rumput bertukar warna menyambut musim panas. Kami mendarat di Adelaide International Airport kira-kira pukul 7 pagi. Suasana di airport tidaklah sibuk sangat mungkin kerana masih awal. Semua penumpang terus ke kaunter imigresen dan kastam untuk pemeriksaan. Di bahagian imigresen mereka akan bertanya tujuan datang ke Australia dan tinggal di mana. Prosedur keselamatan standard terhadap semua warga asing. Peringatan! Pastikan juga jangan bawa bahan basah dan hidup. Undang-undang Australia sangat ketat melarang kemasukan dua perkara tersebut untuk mengelak pembawaan penyakit. Walau bagaimanapun jika perlu bawa atas keperluan mendesak, terlebih dahulu ia hendaklah diisytihar dan mematuhi prosedur negara itu.
  • Sebelum sampai ke destinasi, anak kapal mengedarkan satu borang pengisytiharan bebas penyakit sebab pada masa itu adalah epidemik Ebola yang melanda negara Afrika. Seperkara lagi, bagi yang membawa wang tunai melebihi RM10 ribu, perlu juga diisytiharkan. Lain-lain perkara berkaitan peraturan dan undang-undang Australia turut diumum untuk perhatian semua penumpang.
  • Sebaik melepasi imigresen dan kastam, kami bergerak ke bahgian bagasi. Setelah menuntut bagasi, kami terus bergerak ke lobi. Di sana, makcik rakan sudah menanti ketibaan kami. Oleh kerana kami seramai 7 orang, maka kami terpaksa mengambil satu teksi lagi. Makcik hanya memandu kereta saloon biasa. Di Australia, penumpang tidak dibenarkan melebihi jumlah yang sepatutnya. Saya duduk di bahagian depan bersama pemandu teksi, yang sedang memandu Vios. Oh ya ......... jenama kereta Jepun sangat banyak di Austalia khususnya Toyota. Saya memberitahu alamat dituju, pemandu membawa kami dibantu oleh penunjuk arah GPS. Sepanjang pemanduan, kami jarang bercakap dengan pemandu. Sekilas pandang, saya sudah pasti beliau adalah orang India. Namun tidak pasti samada warga negara Australia atau bekerja di sana. Perjalanan ke tempat penginapan mungkin mengambil masa 15-20 minit. Kami masuk  rumah simpan barang dan rehat sekejap sementara menanti suami makcik yang maish bekerja pada masa itu. 
  • Pada sebelah petang apabila suami makcik dah balik kerja, kami bersiar-siar tengok bandar. 
    (gambar depan universiti Adelaide)
       

    (Sebahagian pemandangan bandar Adelaide)

    (Stadium tertutup Adelaide)



  • Di atas adalah sebahagian kenangan di Adelaide. Kami menuju pusat bandar iaitu tempat yang menjadi tumpuan ramai, terdapat beberapa pusat beli belah di sana. Lebuh Rundle sangat terkenal dalam kalangan orang-orang tempatan. Kami meninjau-ninjau pusat bandar, keadaan pada malam hari tidaklah sibuk sangat. Lagipun bandar Adelaide bukan besar sangat. Pendek kata berjalan kaki boleh mengelilingi seluruh bandar.
2. HARI KEDUA

  • Hari kedua kami bergerak ke bandar pula. Kami pergi ke Central Market Adelaide dan membeli pass @ tiket untuk tram/ bas. Dari sana, suami makcik bawa kami berjalan lagi pergi ke Taman Botanikal. Meskipun terletak di tengah bandar Adelaide tetapi seolah berada di tengah hutan kerana pokok yang begitu besar telah menyerap deruman bunyi kereta. Dalam taman botanikal keadaan adalah senyap sahaja. Satu perkara yang mengagumi mengenai orang putih ini, mereka sangat mesra dengan alam. Mereka tidak merosakkan tumbuhan dan hidupan. Binatang-binatang hidup bebas bersama manusia. Contohnya: Angsa dan itik liar seperti dalam buku cerita kanak-kanak. Bahkan burung-burung berkicauan di merata tempat.
  • (hidupan liar boleh didapati hidup bebas di taman-taman)
  • Ketika di taman botanikal kami mengunjungi rumah hutan tropikal. Taman itu dilindungi oleh rumah kaca yang dikawal suhu khusus untuk tumbuhan tropikal. Tumbuhan tropikal tidak sesuai hidup di negara bermusim. Kami meneruskan langkah seterusnya ke taman ros, pemandangan sangat cantik. Bunga ros sedang mengeluarkan bunga-bunga tetapi keadaan di kawasan lapang sudah mula panas sebab jam menunjukkan hampir tengah hari. Di taman botanikal ini, suami makcik bekerja. Jadi dialah yang menjadi pemandu arah semasa di taman. Di taman ini kami menjamah juadah tengah hari yang disediakan dari rumah. 
  • Selesai di taman botanikal, kami terus balik ke penginapan. Petang itu kami rehat-rehat bersedia untuk aktiviti barbeque. Kami barbeque di halaman rumah. Menjadi tradisi orang putih melakukan aktiviti di luar rumah masa musim panas. Oleh sebab itu mereka menyukai rumah single ada halaman. Adalah sukar melihat kawasan perumahan seperti di Malaysia yang berderetan dengan pagar ala-ala penjara. Di Australia keadaan jauh selamat, banyak rumah yang tidak mempunyai pagar. Jika ada pagar sekalipun ialah adalah sebahagian daripada landskap untuk mencantikkan kawasan rumah.
  • Petang itu kami barbeque daging kangaroo di halaman rumah. Rasanya kurang lebih macam daging rusa atau lembu, tidak jauh beza. Di Australia ada ternakan kangaroo untuk tujuan komersial. Turut serta makan petang itu adalah mertua perempuan makcik, dia peramah dan suka bercakap. 
    (barbeque di luar rumah)

    (daging kangaroo)
  • Lepas makan kami terus duduk santai di luar sambil menantikan senja melabuhkan tirainya. Keadaan semakin sejuk menjelang malam begitu juga di awal pagi. Meskipun menjelang musim panas tetapi kedinginan musim bunga masih terasa. Kami berborak-borak di luar sahaja. Oh...ya siang agak panjang pada musim panas. Suasana pukul 8.00 mlm (waktu Australia) lebih kurang 6.30-7.00 petang kat Malaysia. Tak sabar menanti hari esok untuk program seterusnya. Kami masuk bilik dalam jam 9.00 dan sebelum tidur kita selalu pos gambar dalam FB .......... grup wassap, telegram dan wechat belum hot sangat masa tu. Kami menggunakan free wifi keluarga makcik .... taknak buat panggilan jauh sebab mahal. Untuk makluman kepada pengujung ke Australia, tidak perlu membeli simkad di sana sebab talian celcom secara automatik ditukar kepada syarikat komunikasi tempatan. Satu lagi yang best di sana, banyak free dan open Wifi di pusat bandar khususnya kawasan bangunan kerajaan. Tak perlu password dan ID. 
3. HARI KETIGA


  • Hari ketiga bangun lewat sikit. Makcik dan suami turun kerja. Anak pula pergi sekolah (ketika itu dalam tingkatan 4 jika di Malaysia). Jadi terpaksa menyediakan sarapan pagi sendiri. Terlebih dahulu mandi menggunakan hot shower......sejuk beb. Tak boleh mandi kalau takda air panas. Patutlah orang cakap orang putih tidak mandi. Selama kat rumah jarang dengar orang mandi. Bila dah alami sendiri barulah tau kenapa ..... dalam keadaan sejuk, kita tiada peluh justeru badan pun tidak berbau.
  • Pagi itu, saya dan kawan duduk kat luar sementara menunggu 'orang rumah' siapkan bekal kerana hendak pergi taman. Ketika duduk kat luar, kita tak dengar riuh rendah jiran-jiran seolah macam takda manusia. Begitu juga susah nak tengok orang lalu lalang atau anak-anak ke sana-sini macam kat kampung. Kita sering mempunyai tanggapan orang putih ni ganas sebab selalu tengok cerita dalam TV. Tapi makcik cakap mereka kat sana sangat prihatin. Contoh: kalau dengar jiran bergaduh atau suara anak macam dipukul, jiran lain akan panggil polis. Teringat ketika jalan kat pusat bandar hari pertama datang, terketuk kepala anak pasal nakal sangat. Tak perasan pula adalah dua orang polis ada di belakang. Terus diaorang interrogate ......tanya pasal ketuk kepala? Kalau bahagian badan lain takpe juga. Banyaklah dia tanya; dari mana, duduk mana di Adelaide dan bla..bla...bla...sampaikan passport pun diaorang minta. Fuhhh..... jangan kena blacklist, tak boleh masuk Australia lain kali (dalam hati). Polis cakap takpelah boleh lepas kali ini tapi kalau ikut undang-undang diaorang sana boleh meringkuk dalam lokap malam tu. Itupun pasal makcik tolong explain kat polis agaknya.
  • Dah siap semua, kitaorang pun jalan tunggu tram. Tak jauh daripada rumah makcik. Setiap perhentian ada nombor dan nama senang untuk penumpang tau kat mana nak turun. Kami guna kad imbas pada mesin kira macam bayar tambang juga lah tu. Tiap kali imbas, mesin akan potong berapa dollar daripada kad. Dalam tram sangat bersih. Ada tempat duduk khas untuk orang tua, mengandung dan OKU. Tak boleh duduk sana walaupun kosong. Kalau nak duduk juga......siap kena jeling. Walaupun first time naik, tak perlu risau. Janji tahu di mana turun. Lagipun di seluruh bandar Adelaide cuma ada satu shj laluan tram....tak sesat punya. Kalau sesat juga... balik semula. Kami smpailah di pusat bandar ...... turun. Pusing ambil gambar dan duduk kat taman. Terjawablah tandatanya mengapa orang putih suka duduk kat rumput. Seluar tak basah duduk rumput, sembap sikit adalah. Kalau kat Malaysia siap basah kalau salah tempat. Di sana sejuk tapi kering.
  • Kami pergi ke taman tidak jauh daripada stadium tertutup Adelaide. Duduk di taman memerhatikan hidupan liar yang bergerak bebas seperti angsa dan itik. Kami turut mencuba bot kayuh, tiketnya dalam $10.00 Australia bersamaan RM29.00 dan menaiki bot tasik menyaksikan sebahagian pemandangan bandar. Sarapan pagi berbekalkan juadah yang telah disediakan dari rumah. Sambil makan kami kami duduk berehat di taman. 

    (duduk di taman sambil ditemani angsa hitam)
  • Selepas makan kami meninjau sekitar bandar cuci mata sebab tak mampu nak beli barang banyak. Adalah beli sedikit kenangan bawa balik seperti T-shirt, topi dan key chain. 
    (Peta Universiti Adelaide - terletak di pusat bandar)

    (kenangan depan Muzium South Australia)


  • Diringkaskan cerita kami balik sebab budak-budak pun dah keletihan berjalan, petang makcik plan mau bawa jalan ke pantai pula. Kami balik rumah naik tram sahaja. Satu kelebihan di sini, dalam pusat bandar tambang adalah percuma jika naik pengangkutan awam. Selain daripada itu, kad anda tidak akan dicaj selagi masih dalam tempoh 20 minit daripada penggunaan pertama. Negara maju katakan ..... warga emas diskaun 50% naik tram. 
  • Petang tunggu makcik dan suami balik, kami pun bergerak ke Pantai. Sebenar nya pantai taklah jauh sebab Adelaide terletak di tepi pantai.  Kali ini kami naik van pakcik sahaja. Bawah beberapa shots kat pantai:
    (air laut masih sejuk sebab baru pertukaran musim bunga)

    (marina bay)

    (kat jeti ... tiba-tiba hinggap burung pelican)
  • Kami duduk di pantai menantikan matahari terbenam, suasana sangat cantik. Sambil menunggu kami berborak-borak dan menikmati french fries Australia. Angin pula semakin sejuk. Kami berada di pantai sehingga matahari tak kelihatan.

Tuesday, 7 November 2017

Trip ke Sabah

TRIP TO SABAH



PENGENALAN

Sabah sebuah negeri terletak di utara Borneo. Alam semulajadi yang unik menawarkan beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi. Bagi penduduk Malaysia, negeri Sabah bukanlah asing kerana gunung tertinggi di rantau Asia Tenggara terletak di sini iaitu gunung Kinabalu.


TRIP KE SABAH

Pada cuti pertengahan penggal Ogos lepas, saya sekeluarga telah berkunjung ke Sabah. Trip kali ini tidak dirancang, ia datang secara impromptu 3 hari sebelum bertolak. Kami bertolak dari Bintulu dan menginap semalam di bandar Miri, Sarawak. Pada awal pagi keesokannya, kami tiga beranak bertolak mengikut jalan darat menaiki kereta. Perjalanan ini melalui negara Brunei Darussalam. Nasib baiklah passport antarabangsa masih sahlaku. Perjalanan perlu melalui beberapa pusat imigresen dan kastam Brunei/Malaysia. Pendek kata suku daripada masa perjalanan dihabiskan berhenti di pusat tersebut.

Di Brunei kami menggunakan jalan pintas (jalan kampung) ke pos imigresen/ Kastam Kuala Lurah. Ini merupakan kali pertama menggunakan laluan tersebut. Jadi ada beberapa kali terpaksa singgah bertanya arah daripada penduduk tempatan. Kunjungan pertama dulu menggunakan lebuhraya ke Jerudong tetapi agak memakan masa. Perjalanan melalui kampung memang agak lengang, jalan pun tidak lebar tetapi suasana sepanjang perjalanan tenang. Suasana kampung di Brunei tidak banyak berbeza dengan Malaysia.

(pos imigresen Sindumin)
Dipendekkan cerita, perjalanan kami sampai ke Limbang. Kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai makan berdepan dengan waterfront Jubli Emas. Sempat mengambil beberapa pos di tebingan Limbang. Perjalanan diteruskan melalui Temburong Brunei sebelum memasuki Lawas. Di Lawas kami melalui pos imigresen/kastam terakhir di Sindumin menandakan bahawa kami sudah berada di Negeri Di Bawah Bayu. Jarak dari Sindumin ke Kota Kinabalu mengambil masa 2 jam lebih.

Sampai di KK sudah petang, kami terus menuju ke gerai tempat ikan bakar segar. Cuaca pada masa tu baru reda selepas hujan jadi keadaan kurang menyenangkan ..... keadaan sekeliling gerai basah dan banyak lopak air. Berapa orang pelancong Korea dan Barat turut kelihatan pada masa tu. Oleh kerana isteri berkenan sangat dengan ikan bakar, terpaksa turut kemahuannya setelah berapa tahun meninggalkan Sabah. Juadah bakar memang nampak menyelerakan tetapi persekitaran gerai buat mood mengucup. Saya sempat perhatikan sepasang pelancong Korea kelihatan seolah jengkel duduk di meja sebelah.

Sebaik selesai makan kami bergerak menuju ke Inn Hotel di jalan Inanam yang terletak dalam 10-15 minit daripada pusat bandar Kota Kinabalu. Pencarian menuju ke hotel menggunakan aplikasi WAZE sangat membantu. Walaupun sekadar Inn tetapi keadaan dalam bilik agak selesa sebab hotel baharu. Kadar sewa semalam pula berpatutan bagi pelancong bajet seperti saya.

Keesokkan, kami bertolak dalam 9 pagi untuk sarapan kat area Kingfisher (kawasan perumahan yang disewakan untuk pelajar UMS) cari menu masakan Sarawak. Selepas itu kami bergerak menuju ke Kundasang tetapi sebelum tu isi minyak. Perjalanan menuju Kundasang mengambil masa 2 jam lebih dengan keadaan jalan yang sentiasa menaik dan berselekoh melambatkan pergerakan. Namun ketika berada di paras tinggi, pemandangan membuatkan kita berasa tenang. Keindahan alam semulajadi menggamit hati pengunjung, kelihatan gunung di kiri-kanan jalan.

Sesampai di Kundasang, kami mencari Kinabalu Valley Homestay. Keadaan dalam rumah tidak sebanding Inn atau Hotel tetapi boleh dikatakan bersih dan kemas. Selepas daftar dan simpan barang, kami pergi melawat ladang ternakan lembu Desa Farm. Perjalanan menaiki bukit yang tinggi, kereta bergerak seolah pejalan kaki. Tiket masuk adalah RM5 seorang (tak berapa ingat harga sebenar). Suasana sangat indah dan sejuk mata memandang sebab kedudukan betul-betul di kaki gunung Kinabalu. Boleh perhatikan gambar bawah. Jika diperhatikan gunung secara terperinci, terdapat runtuhan tebing yang teruk kesan daripada gempa bumi pada Jun 2015.
(pemandangan dari Ladang lembu Desa Farm)
Kami berada di ladang lembu. Suasana ladang ala-ala di negara Barat. Suhu pun sangat nyaman seolah berada dalam bilik berhawa dingin. Kami meninjau sekitar ladang termasuk bahagian pemerahan susu. Perkara wajib buat bila berada di sini ialah membeli hasil tenusu seperti susu segar dan yogurt. Kami mengambil gambar sebelum balik ke homestay. Di bawah beberapa pose berlatarbelakangkan ladang Desa Farm.




Di homestay, kami mandi siap sedia untuk makan malam. Air paip ........alamak......sangat-sangat sejuk. Kalau tiada hot shower memang tak boleh mandi. Kami kenakan pakaian bersih dan bergerak ke sebuah restoran (halal) tak jauh daripada pekan Kundasang. Makan steamboat .. pilihan tak seberapa tetapi memadai untuk menahan lapar malam.

(pemandangan gunung kinabalu dari restoran)
Lepas makan kami bergerak balik ke penginapan. Keesokkan pagi, bangun pagi sangat menyegarkan. Cuaca begitu baik dan gunung Kinabalu dapat dilihat jelas dari homestay. Kami bersiap sedia untuk sarapan di restoran yang sama. Sesudah sarapan kami bergerak ke Kinabalu Park di mana letaknya pejabat urusan taman. Di situ juga pendaki-pendaki akan berkumpul sebelum setiap pendakian. Pemandangan gunung sangat menakjubkan pagi itu. Gambar menjelaskan segala-galanya.



(gunung Kinabalu di belakang)



Dari Kinabalu Park kami teruskan perjalanan menuju ke Kampung Luanti terletak di Ranau. Jangka masa ke sana dalam 45minit ke 1 jam. Kampung ini terkenal dengan program Tagal iaitu projek meningkatkan populasi ikan dalam sungai. Penduduk tidak boleh mengganggu, memancing dan apa juga perbuatan lain untuk menangkap ikan. Ikan yang terdapat di sini sangat jinak daripada spesis yang mahal iaitu ikan kelah. Pelancong dikenakan tiket masuk RM5 seorang dan makanan ikan dijual 20 sen satu paket. Ikan akan berkumpul di kaki apabila ditabur makanan, sangat jinak anda boleh membelai (perhatian: peraturan tidak membenarkan pengunjung memegang ikan). Setiap pengunjung hanya dibenarkan berada di sungai selama 15 minit. Mungkin untuk mengelak kesesakkan yang boleh mengganggu ikan.




Perjalanan hari itu diteruskan pula ke Poring Hotspring. Tempat ini terkenal dengan mata air panas. Air panas disalurkan ke kolam-kolam kecil untuk pengunjung mandi atau berendam. Dikatakan air daripada mata air panas mempunyai unsur perubatan baik untuk yang mengidap kudis dan gatal-gatal badan. Antara kemudahan lain yang terdapat di sini adalah taman rama-rama, kolam mandi dan canopy walk. Chalet dan asrama disediakan kepada pengunjung yang ingin bermalam di sini.
(canopy walk - bagi yang gayat jangan cuba)
Balik dari Poring Hotspring kami memandu menuju ke Kota Kinabalu. Sesampai di sana kami check in di Inn Hotel tempat penginapan yang sama masa mula sampai. Kami berehat sebentar menghilangkan lelah. Pada sebelah petang kami pergi ke pantai Tanjung Aru, agak cantik pemandangan sebab diserikan oleh beberapa buah pulau tak jauh dari pantai. Namun kenangan yang tak dapat saya lupakan, bila mengunjungi tandas awam di sebelah gerai makan. Keadaan sangat-sangat tidak menyenangkan bagi saya sebagai pelancong tempatan. Apatah lagi bagi pelancong luar. Kebetulan pada masa itu ada beberapa orang pelancong Korea turut sama ke tandas. Tidak dapat saya bayangkan perasaan mereka sebab saya pernah ke Korea dan saya tahu tahap kebersihan orang-orang Korea. Pihak bertanggungjawab harus peka dengan keadaan di sana sebab pantai Tanjung Aru terletak di kawasan strategik. Balik dari pantai kami bertiga jalan-jalan di shopping mall 'City Point' sebelum ke penginapan. Tidur awal sebab berangkat balik ke Sarawak keesokkan pagi.

Kami berangkat balik ke Sarawak dalam 5.30 pg agar sampai awal di Miri. Begitulah sedikit sorotan mengenai lawatan ke Sabah. Jika ada peluang dan rezeki, saya tetap akan datang lagi. Oh...ya, lawatan lalu merupakan kali ke-4 ke Sabah. Sehingga berjumpa lagi ....bye!


Monday, 6 November 2017

KOREA TRIP

Trip ke Korea


(Pulau Nami - awal musim sejuk)
PENDAHULUAN

Ini adalah entri ringkas tentang trip melancong ke Korea Selatan pada awal Disember 2016. Korea semakin menjadi hot favorite dalam kalangan pelancong khususnya Malaysia. Korea menawarkan kepelbagaian pakej kepada pengunjung daripada hiburan, bandaraya ultra, teknologi, budaya, fesyen dan keindahan alam semulajadinya.

Bagi yang telah berkunjung ke Korea pastinya mereka lebih tahu. Kunjungan pertama mencetuskan semangat untuk datang kali kedua dan seterusnya. Impian berkunjung ke negara 'Running Man' lebih mudah dengan penerbangan tambang murah Airasia. Terima kasih kepada Airasia tanpa mu mungkin sukar bagi kami yang berpendapatan kecil menjejak kaki di negara orang. Pastinya bagi "kaki jalan" sentiasa menanti promosi sepanjang tahun Airasia. Saya pun sentiasa mengharapkan ada peluang Free Seats untuk ke destinasi seterusnya.

(pemandangan di sebuah taman Istana lama dahulu - terletak di pusat bandar)
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIKETAHUI SEBELUM KE KOREA

Bagi yang pertama kali ke Korea perlu ada self-study cari maklumat dalam laman web ataupun blog-blog. Paling tidak pun tanya kengkawan yang dah pergi. Maklumat ini sangat penting bagi yang ingin pergi sebagai backpacker. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Pemilihan Musim
(salji di Nami Island)
  • Korea mempunyai 4 musim. Pilihlah musim yang berkenan di hati. Walau bagaimanapun bagi orang yang bekerja pilihan adalah terhad. Lawatan selalunya bergantung pada cuti kerja atau cuti umum. Apapun musim yang dikatakan menarik di Korea adalah musim bunga dan luruh. Ketika itu alam semulajadi berubah warna dan sangat menarik. Bagi saya, musim sejuk antara pilihan hati. Yalah ....... bunga boleh tengok di Malaysia pun. Kadang2 ada juga jenis pokok kat sini yang menggugurkan daun  tapi musim sejuk tak pernah ada di Malaysia. Inilah peluang nak merasakan kesejukkan dan tengok salji. Untuk mengetahui lebih lanjut bulan bagi musim tertentu, rajin-rajinlah google. 
    (musim bunga di Pulau Nami)
 2. Promosi Tambang Murah
  • Kena rajin tengok promosi dalam internet. Airasia selalu menawarkan promosi mampu beli, jadi yang paling awal boleh dapat tambang yang lebih murah, Jika dapat Free Seats lagi best. Ini bukanlah nak promo Airasia tp terus terang cakap klu tiada promosi ....susahlah bagi kita yang golongan bawahan ini melancong. Tak dinafikan Airasia banyak menyumbang kepada industri pelancongan luar dan dalam negara.


3. Tempat Tinggal
  • Wajib cari penginapan sebelum berangkat. Google dalam internet melalui Booking.Com, Agoda.Com, Trivago.Com dsbnya. Bagi golongan spt saya, tinggal di guesthouse or hostel sangat memadai. Adalah tidak berbaloi tinggal di bilik yang mahal sebab kita hanya berada di bilik waktu malam. Siang hari selalu dipenuhi dengan itinerari yang padat. Untuk makluman hotel di Korea agak mahal. Kepada yang pertama kali berkunjung ke Korea, pastikan anda sudah ada alamat tempat tinggal atau berhadapan risiko ditahan di airport. Ini adalah prosedur keselamatan biasa bagi mempastikan pelancong yang datang tidak membawa masalah kepada negara.
4. Pengangkutan
  • Di Seoul anda tidak mempunyai masalah pengangkutan. Beberapa jenis pilihan pengangkutan awam disediakan antaranya adalah keretapi, subway, bas dan teksi. Apa yang penting anda perlu buat homework awal mengenai destinasi dituju agar dapat menentukan jenis pengangkutan yang lebih sesuai dengan bajet. Sistem pengangkutan awam di Seoul adalah moden dan sangat efisien. Bermula saat tiba di Incheon International Airport anda sudah merasai kecanggihan subway transit percuma yang memindah penumpang dari balai ketibaan ke lobi utama airport. Subway ini sampai setiap 15 minit justeru tidak perlu risau jika anda terlepas beberapa saat. Ketepatan masa sangat-sangat dititikberatkan oleh orang Korea. Di pusat bandaraya Seoul terdapat 9 jenis rangkaian keretapi bawah tanah. Pastikan anda ambil keretapi yang betul ke destinasi. Yang penting mesti ada peta lokasi dan rajin bertanya kepada orang ramai. 

(laluan subway di Seoul  - setiap warna menandakan keretapi berbeza)
(keadaan dalam subway)
5. T-Money
(T-Money)
  • Apa itu T-Money? Ini adalah kad menggantikan tunai untuk urusan tertentu seperti di subway, teksi, bas dan beberapa kedai convenience. Fungsinya sama seperti kad Touch N Go kalau di Malaysia. Pastikan anda beli di airport Incheon sebaik tiba sebab langkah anda seterusnya banyak bergantung kepada T-Money jika anda adalah backpacker. Baki kredit boleh disemak atau top-up boleh dibuat di kiosk yang disediakan di kawasan tumpuan awam khususnya di subway. Pada hari terakhir, jika masih mempunyai banyak kredit dalam kad, anda boleh refund di kedai convenience G25 yang terdapat dengan mudah di seluruh Seoul atau refund di kiosk. 

6. Pakaian
  • Jika anda berkunjung pada musim sejuk khususnya ketika salji pastikan anda dapatkan baju sejuk @ winter coat yang betul. Bukan semua winter coat adalah sama. Dapatkan nasihat daripada jurujual yang berpengalaman seperti di Universal Travelers atau yang seangkatan. Mereka tahu jenis winter coat yang betul untuk suhu tertentu. Jangan risau anda hanya akan berasa sejuk di luar, dalam bangunan ada disediakan alat pemanas. Selain daripada winter coat, sila alert dengan winter gear yang lain seperti baju lengan panjang diperbuat daripada bulu, cap, sarung tangan, mask (khuatiri keadaan sangat sejuk boleh menyebabkan bibir merekah), shawl (selendang), stokin dan kasut. Kelengkapan ini ada dijual di kedai pakaian musim sejuk. Oleh kerana bajet pakaian musim sejuk agak mahal mula beli satu persatu sebaik dah set rancangan melancong. Jika ada bajet lebih, boleh beli pakaian sejuk tambahan di Korea. Dikatakan harga lagi murah berbanding di Malaysia. Selain daripada itu, sediakan juga lip balm dan ubatan-ubatan khususnya bagi mereka yang ada penyakit tertentu. Anda mungkin akan mengalami fenomena climate shock. 
7. Destinasi lawatan
  • Destinasi lawatan boleh google dalam internet. Jika tidak tahu ke mana hendak pergi, boleh rujuk destinasi mereka yang telah ke Korea. Lihat dalam blog-blog, biasanya mereka akan kongsikan tempat dan cara untuk pergi ke destinasi. Namun tempat yang pasti menjadi tumpuan pelancong antaranya adalah Pulau Nami, Everland Theme Park, Lotte World dan Namsam Tower. Di Everland Theme Park, satu hari tidak mencukupi untuk mencuba semua permainan yang disediakan. Namsam tower wajib pergi. Ia adalah sebuah menara komunikasi yang terletak atas bukit, dari situ pengunjung boleh melihat 360 darjah bandaraya Seoul. Lihat gambar bawah:

(Namsam Tower - pemandangan udara bandaraya Seoul)

(ini sebahagian pemandangan dan fun activity di Everland Theme Park)
8. Keselamatan
  • Percaya atau tidak Seoul adalah tempat yang sangat selamat. Tak perlu risau jalan seorang baik siang atau malam walaupun di lorong-lorong gelap. Korea sebuah negara maju, jadi rakyat tidak perlu menjadi perompak jalanan. Kerajaan telah menyedia dan menjaga keperluan hidup rakyatnya. Bahkan dalam satu blog dibaca, pernah seorang pelancong Malaysia tertinggal handphone dalam bas lalu menghubungi syarikat bas berkenaan. Mereka berjanji untuk kembalikan telefon tersebut jika terjumpa dan keesokkan harinya syarikat memulangkan telefon tersebut.
9. Membeli belah
  • Seoul adalah kotaraya metropolitan. Jadi sudah tentu menawarkan pelbagai jenis barangan bagi kaki-kaki shopping. Korea mempunyai produk jenama sendiri yang kian mendapat tempat di hati pengguna antarabangsa. Contohnya adalah Nature Republic - produk kecantikan bagi wanita. Begitu juga pakaian-pakaian buatan Korea lebih lembut dan halus....sangat-sangat bermutu tinggi.
10. Etika dan Adab
  • Orang Korea mempunyai etika tertentu di khalayak ramai. Beberapa sikap Korea yang diperhatikan adalah seperti berikut:
  1. Mereka senyap dalam pengangkutan awam. Mereka lebih memfokuskan kepada hal sendiri seperti tengok telefon dan dengar muzik.
  2. Mereka bergerak cepat di tempat awam. Mereka seolah berlari-lari mengejar masa ke tempat dituju. Mungkin sebab masalah jam @ kesesakan agak ketara justeru untuk elak lambat mereka bergerak pantas.
  3. Mereka mempunyai laluan yang ditetapkan mengikut arah datang dan pergi khususnya di tangga-tangga dan pintu keretapi subway. Peraturan ini mampu melancarkan pergerakan manusia yang ramai. Mereka juga beratur ketika menunggu dan naik pengangkutan awam.
  4. Makan ... sangat susah melihat orang Korea makan ketika berjalan. Oleh sebab itu sangat sukar mencari tong sampah. Keadaan ini jauh berbeza di Malaysia di mana kita sering tengok orang makan sambil berjalan-jalan.
  5. Perokok tidak merokok sesuka hati. Mereka tidak merokok di tempat makan begitu juga dalam bangunan. Mereka hanya boleh merokok di sudut tertentu yang ditetapkan.
  6. Sikap bersih ..... orang Korea sangat mementingkan kebersihan. Adalah sukar kita melihat sampah dibuang merata-rata. Jika anda berkunjung ke Korea, pastikan anda tidak membuang sampah seperti di Malaysia. Ketika berjalan-jalan dan anda tidak terjumpa tong sampah, simpan sampah dan buang di rumah
  7. Waktu hari persekolahan .... amat sukar melihat kanak-kanak berjalan di bandar. Ini menjelaskan bahawa pada waktu itu mereka berada di sekolah.
  8. Honking --- membunyikan hon di Korea agak serius. Ini bukan bermakna mereka mengancam pemandu lain tetapi sekadar mengingatkan. 
  9. Melintas jalan ..... orang Korea sangat berdisiplin. Mereka tidak melintas jalanraya walaupun kurang kereta. Mereka akan menunggu lampu hijau untuk melintas.
  10. Di sesetengah kedai makan khususnya kedai relax dan santai seperti Starbucks mereka tidak mempunyai staf yang ramai. Oleh itu kita ambil order di kaunter, tunggu sehingga hidangan sampai dan bawa sendiri ke meja duduk. Sesudah makan kita kena hantar sendiri ke kaunter cawan atau pinggan yang telah digunakan.
  11. Kebersihan tandas awam di Korea sangat hebat walaupun bangunannya lama. Keadaan dalam tandas begitu bersih dan sentiasa kering seoleh boleh duduk macam kat lantai rumah.
11. Bahasa
  • Boleh dikatakan lebih 95 % orang Korea tidak pandai bercakap atau memahami bahasa Inggeris. Masalah komunikasi adalah serius jika melancong ke Korea. Jadi belajar sedikit bahasa Korea sebelum ke sana. Kebanyakan komunikasi semasa berada di sana adalah menggunakan bahasa isyarat. Walau bagaimanapun mereka peramah dan sedia membantu.

PENUTUP

Semoga maklumat serba ringkas dapat memberi info berguna kepada bakal-bakal pelancong ke Korea. Saya bercadang akan ke Korea semula suatu masa nanti. Jumpa lagi pada entri yang lain.